top of page

5 Risiko Besar Menyimpan Wang Kertas


Seminggu dua yang lepas, harga emas turun ke paras paling rendah bagi tahun 2015. Bagi mereka yang membeli emas sekadar untuk “buy low sell high”, mereka sudah pun mula merasa panik kenapa harga emas turun sebegitu banyak? Bermakna mereka merasakan kerugian kerana membeli emas sebelum ni. Harga 1 gram telah turun sekitar RM130 pada waktu tu. Sekiranya harga emas turun lagi hingga ke paras RM120 segram, tentulah akan lebih rugi lagi.

Sebaliknya bagi yang membeli emas untuk dijadikan sebagai alat pelindung kekayaan (wealth protection), mereka tidak perlu merasa risau sekiranya harga emas turun, bahkan mereka harus merasa happy. Mereka berpeluang menambah lagi simpanan emas pada harga murah. Emas tetap emas, dan emas itu tidak akan berkurangan walaupun 1 gram. Emas tersebut masih ada “nilai melekat” (instrinsic value) pada berat dan ketulenan emas itu sendiri. Sejarah telah membuktikan, tidak pernah ada orang yang jatuh lingkup disebabkan menyimpan emas, bahkan ramai yang kekal kaya kerana mempunyai simpanan emas.

 

# 1 –Duit Ringgit Malaysia Jatuh

Bagi yang mungkin terasa mengalami kerugian, saya ingin mengajak sahabat-sahabat berfikir, adakah simpan duit kertas itu lebih selamat? Sekiranya kita tidak membeli emas, duit kita akan terbiar dalam bentuk duit kertas. Maka kita akan berhadapan dengan RISIKO YANG LEBIH BESAR, iaitu berkemungkinan besar duit Ringgit Malaysia akan jatuh! Ringgit Malaysia pernah jatuh hingga paras 50% setahun yang mana hal ini tidak pernah berlaku kepada emas dalam sejarah 30 tahun harga emas di pasaran.

Sekiranya ringgit jatuh, apakah nilai yang masih tinggal kepada kita? Yang tinggal hanya kepingan kertas yang tak ada nilai sebenar padanya. Ia cuma keping-kepingan kertas yang ditulis nombor padanya. Nilai duit kertas bukan terletak pada kertasnya, tapi ia bergantung sejauhmana kekukuhan ekonomi dan politik negara. Keadaan ini ternyata sentiasa berubah-ubah.

Andaikata duit simpanan kita masih kekal dengan nombor “RM10,000″ ketika nilai ringgit jatuh hingga paras 50%, maka kuasa belinya juga tinggal separuh. Hal yang kritikal boleh terjadi, harga barang keperluan naik mendadak (terutamanya barangan import), kos ke luar negara melambung tinggi, dan orang luar boleh mengambil kesempatan membeli kekayaan kita dengan separuh harga! Sewaktu duit kita jatuh merudum pada tahun 1997 dulu, mantan Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tun Mahathir sedar, bahawa duit kertas tidak adil untuk digunakan sebagai dagangan antarabangsa. Ia boleh dimanipulasi dan dispekulasi. Hal yang demikian, beliau mula berbincang untuk memperkenalkan penggunaan tentang dinar emas. Hasil daripada cetusan idea itu, maka BNM telah mengeluarkan syiling emas pertama negara iaitu Kijang Emas.

Ringgit Terus Merosot Jangka Panjang

Sekiranya sahabat-sahabat perhatikan, Ringgit Malaysia didapati semakin merosot dalam jangka panjang. Pada tahun 1997, ringgit Malaysia agak stabil apabila kerajaan mengambil tindakan untuk menambat harga USD. Pada waktu itu, pertukaran untuk USD1, kita cuma perlu membayar RM2.50, tetapi sekarang kita perlu membayar RM3.80! Duit kita merosot 34.2% berbanding USD. Manakala perbandingan pertukaran ringgit Malaysia dengan Singapore dollar pada tahun tersebut adalah RM1.80 untuk dapat SGD1, tetapi sekarang kita perlu membayar RM2.60 untuk SGD1! Duit kita telah merosot sebanyak 44% berbanding duit Singapore.

Persoalannya, adakah anda masih terfikir bahawa menyimpan duit kertas itu lebih selamat dan menguntungkan? Hakikatnya jelas di sini duit kertas jauh lebih berisiko berbanding dengan penyimpanan emas.

 

# 2 – Keruntuhan Nilai Matawang Negara

Sejarah negara kita telah menunjukkan kita pernah berhadapan dengan keruntuhan nilai matawang. Duit Pisang zaman Jepun yang pernah digunakan sebagai matawang rasmi di negara kita pada zaman dulu, hari ni sudah tidak ada nilainya dan tidak laku. Sahabat saya pernah menceritakan bagaimana datuknya pernah jatuh dari ‘jutawan’ menjadi ‘kosongwan’ apabila duit berkenaan sudah tiada nilainya.

Kadangkala kita terfikir perkara itu tidak mungkin boleh berlaku sekarang memandangkan kita telah lama merdeka dan semakin maju. Ia cuma berlaku pada zaman datuk nenek kita. Tetapi menurut sejarah, banyak matawang menjadi tidak laku ekoran daripada keadaan ketidakstabilan ekonomi dan politik. Apabila negara tidak stabil (seperti banyak yang belaku di negara-negara Arab sekarang), mereka terpaksa menyimpan USD ataupun simpan emas untuk menyelamatkan kekayaan mereka. Baru-baru ini saya terbaca ada seorang perempuan yang suaminya seorang Yaman telah membeli emas yang banyak disebabkan negara Yaman berada dalam keadaan kurang stabil sekarang. Mereka terpaksa menyelamatkan kekayaan mereka dengan menyimpan emas!

Jadi, adakah selamat sekiranya kita menyimpan duit kertas? Andaikata kita mengambilkira tentang risiko, duit kertas hakikatnya jauh lebih berisiko berbanding penyimpanan emas.

 

# 3 – Keruntuhan Sistem Matawang

Dalam senario yang kritikal, kita juga berhadapan dengan risiko sistem matawang itu sendiri yang runtuh. Dalam sejarah, sesebuah kerajaan mula ‘mencetak duit’ secara berlebihan untuk menanggung hutang yang banyak terutamanya apabila terpaksa membiayai kos peperangan. Dan itulah yang dilakukan oleh US sekarang!

Persoalannya, apakah perkaitannya ringgit Malaysia dengan USD? Duit Malaysia dan duit-duit negara lain di dunia ini disandarkan pada USD. Duit kertas yang dicetak hari ini sudah tidak ada kena mengena lagi dengan emas. Sekiranya US Dollar jatuh, maka seluruh dunia akan runtuh disebabkan rizab terbesar negara kita (dan kebanyakkan negara lain di dunia) ialah telah disandarkan pada matawang asing iaitu US Dollar. US adalah penyimpan emas terbesar dunia. US telah menukarkan kertas hijau mereka dengan kekayaan kita. Kita pula menghulurkan kekayaan kita untuk mendapatkan kertas hijau US!. Dan itulah apa yang berlaku kepada Iraq dan Libya sekarang.

 

# 4 – Kuasa Beli Susut Dimakan Inflasi

Risiko pertama, kedua dan ketiga mungkin kita rasa ianya mustahil berlaku kepada kita. Ia cuma berlaku kepada orang lain dan kepada orang di zaman lain. Bukan tempat kita, dan bukan zaman kita. Tapi yang pasti berlaku kepada kita ialah kuasa beli kita merosot dari tahun ke tahun di makan inflasi!

Kadangkala kita merasa sedih apabila mendengar cerita lama ibubapa kita yang mereka membawa duit ke sekolah tak sampai 10 sen hari, sedangkan zaman kita bersekolah, kita membawa RM1.00 sehari. Tapi jangan lupa, nilai wang 10 sen pada zaman ibubapa kita dahulu cukup untuk mereka makan dengan kenyang. Ia tak sama dengan nilai wang 10 sen yang anak-anak kita campak merata-rata sekarang. 10 sen zaman sekarang memanglah kecil kerana RM1.00 hari ni sudah tidak mampu untuk membeli makanan walaupun sebungkus nasi!

1Dinar Emas mampu membeli seekor kambing sejak 1,400 tahun lalu sehinggalah sekarang. Maka, sekiranya anda menyiimpan duit dalam Tabung Haji atau ASB, dengan anggaran dividen sekitar 5% – 8% setahun, anda sebenarnya sekadar cukup untuk menampung kos inflasi sahaja. Sekiranya kita membelanjakan duit dividen tersebut, kita sebenarnya semakin miskin walaupun nilai pokok itu tidak disentuh. Maka duit dividen tersebut adalah tidak wajar disentuh memandangkan ia bukan menambahkan kekayaan kita, malah hanya sekadar menampung kos inflasi sahaja. Itupun bermungkinan ia tidak cukup sekiranya kita mengambilkira kenaikan kos sara hidup sebenar yang mencecah 10% – 15% setahun!

 

# 5 – Simpanan Bocor Dek Desakan Emosi

Kesemua faktor no.1, no.2, no.3 dan no.4, merupakan faktor luaran. Hakikatnya ramai orang susah nak kaya bukan disebabkan oleh faktor luaran sahaja, faktor dalaman juga harus dilihat dan dikenalpasti iaitu tentang disiplin menyimpan atau menabung. Hal ini bukan dikira faktor ekonomi, tetapi ia merupakan faktor psikologi. Tidak ada orang yang jatuh miskin dengan menyimpan emas, tetapi ramai orang yang jatuh miskin disebabkan boros berbelanja, terjebak dengan skim cepat kaya, dan juga, duit lebur disebabkan orang lain tidak membayar hutang yang dipinjamkan! Ini semua adalah penyakit yang melekat dengan duit kertas.

Orang yang menyimpan emas tidak mempunyai tanda-tanda mengalami ‘penyakit-penyakit’ berkenaan. Ini adalah kerana ‘penyakit’ ini berpunca daripada faktor psikologi seseorang. Orang yang menyimpan emas, mereka merasa seronok ang kaya-kaya. Dalam kepala mereka ialah simpan, simpan, dan simpan. Mereka menyimpan koleksi-koleksi emas mereka. Emas tu sangat cantik. Naluri manusia memang sukakan emas dari dahulu hinggalah bila-bila masa sekalipun. Abu Bakar Ibn Abi Maryam melaporkan bahawa beliau mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda "Akan tiba satu zaman di mana tiada apa yang tinggal dan boleh digunakan oleh umat manusia maka simpanlah Dinar ( Emas ) dan Dirham ( Perak ) [Musnad Imam Ahmad Ibn Hanbal]. Malah dalam Al-Quran juga ada menyebut sampai kiamat hingga Allah gambarkan, antara ganjaran-ganjaran di Syurga ialah emas.

Jadi, hendak dijual terasa sayang. Kalau nak pakai duit, mereka akan cari duit lain. Kalau terpaksa jual, mereka akan cari duit untuk beli balik emas-emas tu. Akhir sekali mereka semakin kaya. Itulah pengalaman saya memerhati perangai orang menyimpan emas.

 

Bukan Semua Duit Perlu Beli Emas

Menyimpan duit kertas, kesan psikologinya berbeza. Seronoknya mempunyai duit kertas bukan pada menyimpan, tetapi pada membelanjakannya. Sebab itu apabila sesorang itu meninggal dunia, jarang sekali kita mendengar mereka mempunyai simpanan tunai yang banyak. Yang mereka ada cuma harta-harta fizikal seperti rumah, tanah dan emas. Duit/wang tidak boleh bertahan lama kerana kebiasaannya, secara psikologi, kita akan ‘kalah’ dengan duit.

Kesimpulannya daripada perbincangan di atas, anda dapat melihat perbezannya menyimpan emas dan menyimpan duit kertas. Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan, tetapi akhir sekali yang akan ‘menang’ ialah emas! Walaupun begitu, bukan bermaksud kesemua duit dan kekayaan kita perlu disimpan dalam bentuk emas. Duit yang hendak digunakan, adalah lebih baik disimpan dalam bentuk tunai di Bank (termasuk Tabung Haji). Duit simpanan jangka panjang, lebih baik ditukarkan kepada aset-aset fizikal seperti emas, tanah dan hartanah. Aset-aset sebegitu terbukti meningkat tahun demi tahun.

Di sunting oleh : Puan Norfilzah Hayati Ahmad


Blog 3R
Jbtn Pengajian Perdagangan
Post Terkini
Arkib
Pencarian dengan 'tags'
No tags yet.
Follow Us
  • Facebook Basic Square
  • Twitter Basic Square
  • Google+ Basic Square
bottom of page